Khamis, 1 Julai 2010

Negeri Cantik Budaya Menarik




Negeri Terengganu terletak di Pantai timur Semenanjung Malaysia. Negeri ini berjiran dengan Kelantan dan Pahang. Tempias budaya dari kedua-dua buah negeri ini boleh dilihat di sini dari segi makanan, seni persembahan, loghat dan dialek bahasa pertuturan. Walaupun begitu masyarakat Terengganu mempunyai satu identiti budaya yang tersendiri. Seiring dengan kemajuan dan pembangunan, negeri ini masih memilki keutuhan adat serta budaya dan keindahan alam yang masih belum tercemar. Tempat yang wajib anda lawati jika mempunyai hasrat untuk bercuti. Pengunjung akan merasai pengalaman yang luar biasa dan mengujakan. Tarikan semulajadi terlalu banyak untuk diterokai pulau , pantai, hutan lipur dan keindahan buatan seakan menggamit kedatangan pengunjung ke negeri ini.

Jika hendak ke Terengganu, memang tak susah sekarang sejak Lebuhraya Pantai Timur dibina pada tahun 2000 memudahkan rakyat Malaysia melancong ke negeri ini. projek pembinaan masih dijalankan melibatkan beberapa fasa. Jarak perjalanan dari ibu negara Kuala Lumpur ke Negeri Terengganu lebih kurang 455km dan anggaran masa perjalanan 6 ke 7 jam memandu. Anda boleh menikmati pemandangan indah dan masyarakat yang masih terpelihara susur galur adat dan budaya. Jalan alternatif melalui udara juga tersedia bagi mereka yang tidak mahu bersesak-sesak samada penerbangan domestik atau antarabangsa yang baru diperkenalkan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Baru-baru ini Menteri Besar Terengganu merasmikan penerbangan sehala terus ke Negara China dari Kuala Terengganu.

Terengganu mempunyai tujuh buah daerah termasuk Kemaman, Dungun,Marang,Kuala Terengganu,Hulu Terengganu,Setiu dan Besut. Kegiatan utama masyarakat tempatan adalah perikanan dibantu hasil petroleum. Kita dapat lihat perkampungan nelayan masih terdapat di sepanjang pesisir pantai Terengganu. Sungguh indah bumi Terengganu dengan pantai yang membiru dan pepasir yang putih bak mutiara..

Kuala Terengganu ibu negeri Terengganu, mengimbau nostalgia pengunjung terhadap perdagangan masa lampau dengan aktiviti perniagaan yang sangat giat dilakukan penduduk tempatan. Terasa menjejakkan kaki ke zaman kegemilangan Melayu pula.Antara barangan jualan adalah tekstil, barangan tembaga, dan ukiran kayu. Berkunjunglah ke Pasar Payang dan pelbagai lagi tempat menarik seperti muzium, kompleks kraftangan, Taman Tamadun Islam dan lain-lain. Pelancong juga boleh mempelajari sesuatu seperti pembuatan batik dan songket kerana rakyat negeri ini memang tidak lokek kemahiran yang dikurniakan.

Bagi yang mengimpikan percutian ke pantai dan pulau, Terengganu menyediakan banyak destinasi memukau pandangan dengan kemudahan dan kelengkapan yang memuaskan. Antaranya Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tenggol, Pulau Lang Tengah, Pulau Bidong dan Pulau Duyong. Pantai Popular pula termasuklah Pantai Batu Buruk, Pantai Kuala Abang, Rantau Abang, Pantai Bukit Keluang, Pantai Kijal, Pantai Penarik dan banyak lagi...

Khazanah semulajadi dan warisan Terengganu memang terlalu banyak untuk diterokai. Negeri Terengganu, Di mana Alam Semulajadi Memayungi Warisan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan